Ibu Zain the Musical : Emas Tempawan

Ibu Zain MaTiC PC @ The Star Online TV

Ibu Zain Matic @ Chopie's www.lemon9.com

Thursday, February 12, 2009

Ibu Zain MaTiC @ Berita Harian

17/3/09: Watak kecil, kesannya besar
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


GANDINGAN tiga pelakon berbakat ini memantapkan persembahan Teater Muzikal Ibu Zain.
Tiga pelakon puas hati jayakan Teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan dari 13 hingga 22 Mac MISS Shellebear adalah watak mubaligh Kristian yang pernah mencetus kontroversi kerana ramai yang mempersoalkan kepercayaan agama bekas kumpulan Elite, Avaa Vanja Ramli selepas menyaksikan pementasan teater Muzikal Ibu Zain tahun lalu. Kini pementasan yang mengangkat tokoh wanita terulung itu sedang dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sudah tentu isu mengenai pembabitan gadis berusia 29 tahun ini bakal dibangkit kembali dan Avaa tetap bersedia menjawab persoalan yang cuba ditimbulkan bagi mereka yang tidak memahami peranannya sebagai pelakon. “Saya sedaya-upaya cuba melakukan yang terbaik pada kerjaya saya. Saya hanya melakonkan watak yang diberikan oleh pengarah mengikut kebolehan dan bakat yang di lihat dari saya. “Bagi saya lakonan hanyalah ilusi yang cuba diterjemahkan melalui skrip ke atas pentas. Saya sangat berharap orang ramai melihat sendiri watak yang dibawa oleh saya dan jawapannya pasti ditemuinya,” katanya.
Mengenai watak Miss Shellebear, Avaa berpuas hati dengan peranan yang diberikan pengarah Rosminah Tahir. “Watak saya sama saja dan tiada ada langsung perubahan daripada sebelum ini. Tetapi apa yang pasti kemungkinan cara penyampaian saya menjadi lain sedikit kerana kali ini saya bergandingan bersama Natasha Hudson yang menggantikan Catriona Ross. “Memang setiap pelakon harus mengenali siapa pasangannya. Bagi saya juga, Natasha adalah pelakon berbakat dan saya tidak ada masalah digandingkan dengannya,” katanya yang mula berlatih sejak 10 Februari lalu. Bagi Datin Natasha Hudson pula, dia memang sudah lama memasang impian untuk beraksi di pentas teater dan akhirnya tercapai juga selepas dihubungi penerbit teater itu Siti Rohayah Atan.
“Minat saya dalam bidang seni bukan saja kepada lakonan filem dan televisyen. Sebelum ini saya tidak pernah berkesempatan untuk menguji bakat saya dalam bidang teater walaupun sebelum ini banyak tawaran. “Saya memerlukan masa untuk berfikir disebabkan sayang untuk meninggalkan anak. Akhirnya selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan, saya menerima watak Miss Ruth yang sebelum ini pernah dibawakan oleh Catriona Ross,” katanya. Natasha yang memiliki Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago mengakui tidak terlalu mengharapkan mendapat peranan kecil memandangkan ini adalah kali pertama dirinya terbabit dalam bidang teater. “Dapat membawa tiga babak saja dalam teater ini sudah memadai disebabkan saya sangat baru dalam bidang teater,” katanya. Penyanyi dan komposer wanita, Nur Fatimah Abdul Wahab yang masih mengekalkan watak sebagai Ibu Zain dewasa secara keseluruhan seronok apabila pengarah masih memilihnya untuk membawakan watak itu. “Secara keseluruhan watak saya tidak berubah. Pengarah hanya mahu dialek Johor harus dipertingkatkan lagi. Walaupun ini kali kedua saya membawakan watak Ibu Zain, namun saya juga harus bekerja keras seperti pelakon lain. “Bagi saya ini kerja berkumpulan dan kerja teater ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk mencapai satu kejayaan. Saya berkorban melakukan ini untuk diri saya dan untuk produksi sendiri. Selain menghafal skrip, saya juga akan menyanyi lebih kurang tujuh lagu secara ‘live’ dan ini adalah cabaran saya,” katanya. Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dengan kerjasama Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Asra), Istana Budaya, CTRA Production, MaTiC, De'Media dan Event Entertainment turut menamakan nama besar dalam bidang lakonan seperti Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nurul Elfira Loy, Nurul Syariza Nor Azim, Hamzah Tahir, Sherry Syed Abdullah, Farah Adila Apandi, Mazin Ameen Siraj dan Zuhairi Ibrahim. Info Avaa Nama Sebenar: Avaa Vanja Ramli Panggilan: Avaa Tarikh Lahir: 18 Jun 1980 Usia: 28 tahun Tempat Lahir: Ampang, Selangor Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara Status: Bujang Rancangan TV: Pop TV, Bintang Anugerah 2001 (RTM), Thumb TV dan Thumb Express Info Natasha Nama Sebenar: Natasha Liana Hudson Usia: 26 tahun Tarikh Lahir: 9 September 1982 Tempat Lahir: Ipoh, Perak Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku Iklan: Nesquick, McDonald's, Pantene, Ambi Pur dan L'Oreal Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri Info Nur Nama sebenar: Nur Fatimah Abd Wahab Tempat lahir: Ipoh, Perak Tarikh lahir: 22 Julai 1982 Profesion: Penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, penerbit Album: Selembut Sutera, Gadis Teater: Muzikal Ibu Zain Info
Teater Muzikal Ibu Zain diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia yang dinaungi Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De'Media dan Event Entertainment.
Dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Tiket bagi menyaksikan berharga RM20, RM30 dan RM50.
Keterangan lanjut layari www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017- 2004249.

24/02/09: Ibu Zain ke Biografy Channel?
Oleh Zainuri Misfar zainuri@bharian.com.my


PERSEMBAHAN Teater Muzikal Ibu zain.

AETN minat terbit dokumentari ketokohan wanita pejuang NAMPAKNYA usaha untuk mengangkat ketokohan Tan Sri Zainun Munsyi Sulaiman bukan hanya sekadar di pentas teater, malah ia akan bergerak lebih jauh lagi. Kehebatan tokoh politik, pendidikan dan persuratan itu yang dikenali sebagai Ibu Zain itu akan dibawa ke peringkat lebih global.
Ini kerana sudah ada usaha penerbitnya untuk menjadikannya sebuah dokumentari yang akan ditonton jutaan penonton seluruh dunia. Dengan cara itu, perjuangan tokoh yang dilahirkan di Nyalas, Melaka pada 1903 akan diketahui masyarakat antarabangsa. Penerbit teater Muzikal Ibu Zain, Siti Rohayah Attan, berkata sudah tiba masanya generasi hari ini mengorak langkah lebih aktif bagi menyanjung tokoh yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Sanjungan itu pula menurutnya, sudah tidak lagi sesuai hanya pada peringkat sekolah, universiti, penerbitan buku atau hanya pementasan teater. Satu langkah baru harus diatur agar semangat dimiliki oleh pejuang terbabit terus hidup bersama bangsanya.

“Baru-baru ini kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AETN All Asia Network (AAAN) bernilai RM3 juta bagi menghasilkan penerbitan dokumentari mengenai sejarah, jenayah dan penyiasatan serta biografi. “Program ini mengenai realiti kehidupan Malaysia, rakyatnya dan tempatnya termasuk tokoh yang berjasa bagi membangunkan Malaysia. Ia dikatakan sebagai kaedah terbaik untuk menceritakan kebenaran mengenai Malaysia. “Justeru, saya berasakan Ibu Zain adalah antara tokoh agung yang layak untuk dibariskan dalam program itu. Tidak ada sebab, kita menafikan kehebatan tokoh ini dalam sejarah negara,” katanya yang sudah menerbitkan Muzikal Ibu Zain di Istana Budaya, Ogos tahun lalu. Tiga program itu akan ditayangkan menerusi History Channel, Crime and Investigation Network dan Biography Channel yang boleh ditonton dalam siaran televisyen berbayar, Astro. Ia akan disiarkan dalam 20 bahasa ke 138 negara.




ANTARA babak menarik membabitkan Rahim dan Liza dalam teater Muzikal Ibu Zain.


Bagi tujuan itu katanya, CTRA Production dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) selaku penganjur teater Muzikal Ibu Zain sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan filem bagi merealisasikan cita-cita itu. “Saya amat berharap semoga Finas dapat memberi ruang kepada kami untuk meletakkan ketokohan seorang pejuang di tempat sewajarnya. Lagi pula, kami sudah mengadakan penyelidikan yang panjang lebar mengenai Ibu Zain. “Kita akan menerbitkan buku mengenai beliau tetapi usaha ini akan lebih berbaloi sekiranya ia diberikan sentuhan yang pelbagai iaitu dari teks ke teater dan kemudian ke kaca televisyen,” jelasnya yang mengakui sudah mempunyai bahan lengkap bagi penerbitan yang berbentuk dokumentari. Tanpa berselindung penerbit yang sudah membabitkan diri lebih 15 tahun dalam bidang teater dan penerbitan drama ini mengakui mempunyai cita-cita lebih besar terhadap karya dan arahan Rosminah Mohd Tahir itu. “Kami mahu mengangkatnya sebagai sebuah karya yang bercerita mengenai bangsa Melayu, Malaysia yang dibangun daripada keringat dan air mata yang bukan sedikit. “Kami juga mahu lihat Ibu Zain dalam filem dan usaha ke arah itu akan dirancang secara perlahan-lahan supaya hasil yang akan diterima membanggakan semua pihak termasuk keluarga Allahyarham Ibu Zain,” tambahnya. INFO: Teater muzikal Ibu Zain
Teater Muzikal Ibu Zain Musim Kedua dipentaskan dari 13 hingga 22 Mac ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Tiket berharga RM20, RM30 dan RM50.
Diarahkan Rosminah Tahir.
Antara pelakonnya ialah Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Natasha Hudson, Ava Vanja, Nur Fatimah Abdul Wahab, Nurul Elfira Loy, Zuhairi Ibrahim, Hamzah Tahir, Sheery Abdullah, Farah Adila Apandi, Najua Nasir P.Ramlee, Rasdi Daud, Mazin Ameen Siraj dan 60 pelakon lain.
Keterangan lanjut boleh menghubungi 03-61866592 atau layari http://www.ibuzain.blogspot.com/.










Natasha Hudson

Sokongan suami, keluarga dan rakan membuatkan Natasha teruja beraksi dalam teater muzikal arahan Rosminah Tahir HATINYA agak berat untuk meninggalkan anak tersayang yang membesar di depan mata sejak lapan bulan lalu demi meneruskan minatnya terhadap bidang seni. Malahan kalau dibiar berenggang sesaat pun, pasti hati si ibu jelita ini resah gelisah. Tambahan pula, anak perempuan comel bernama Nessa Helena, 8 bulan ini adalah anak sulungnya dan hampir setiap detik, kalbu rindu pasti mencengkam jiwa. Namun peluang berharga untuk melebarkan sayap buat kali pertama ke pentas teater yang mungkin hanya singgah sekali dalam seumur hidup, membuatkan pelakon dan model jelita berdarah campuran Melayu dan Australia ini mengubah keputusannya.
Demikianlah gambaran perasaan Datin Natasha Hudson apabila nekad menerima tawaran berlakon teater muzikal Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir. Berani mengambil risiko biarpun agak sukar membuat keputusan pada mulanya, calon Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin ini sedar peluang yang menjelma di depan mata bukan selalu ada. Apabila penerbit teater ini, Siti Rohayah Atan menghubunginya penghujung Januari lalu bagi menawarkan watak Pengetua di Sekolah Perempuan Methodist Melaka, Miss Ruth, dia bagaikan tidak percaya dan berasakan semua ini hanyalah mimpi kosong. Isteri kepada usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari ini pada mulanya memang berbelah bahagi untuk mempertimbangkan watak yang ditawarkan kepadanya. Biarpun peranannya hanya diperlukan untuk tiga babak saja, saat keemasan ini tidak sesekali dipersiakan.
Tidak salah andai dikatakan, wajah dan bakatnya mampu menjadi pelaris untuk menghangatkan pementasan teater ini. “Saya memang sudah lama memendam hasrat untuk melangkah ke pentas teater bahkan minat ini sudah mula bercambah semasa saya di bangku sekolah lagi. Ia semakin membara dan menjadi-jadi apabila saya memilih jalan seni. Ketika saya menuntut pengajian Performing Arts School di Amerika Syarikat pun saya mula berjinak-jinak dengan dunia teater. “Ahli keluarga dan teman rapat mempersoalkan kenapa saya harus menolak tawaran itu. Suami juga turut beri sokongan 100 peratus dan atas keizinan dia, saya mencabar diri untuk menjadi Miss Ruth. Dia (suaminya) menggalakkan saya untuk terus menunjukkan bakat yang ada dan bertemu peminat. “Cerita teater ini mengenai seorang tokoh terkenal tanah air bernama Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman. Saya kena buat penyelidikan yang betul supaya tidak tersasar penyampaiannya. Saya tidak berpeluang menonton persembahan teater ini pada tahun lalu, jadi saya hanya menontonnya kembali menerusi blog dan banyak bertanya termasuklah kepada Catriona Ross yang memegang watak ini pada tahun lalu. Malah, Catriona Ross termasuk Melissa Saila yang mencadangkan nama saya sebagai ganti,” katanya yang harus bertutur bahasa Malaysia dengan slanga dan pelat Inggeris gara-gara watak Miss Ruth.Teater mengasah kemampuan berlakon MENGAKUI sangat teruja untuk ke pentas teater, dia yakin dengan sokongan pelakon lain yang sangat menyokong antara kekuatan untuk dia terus memberikan lakonan yang terbaik. “Saya sedar impak berlakon teater cukup besar kerana ia antara medium terbaik untuk mengasah bakat menjadi pelakon yang baik. Keupayaan melontarkan vokal dengan baik dengan tuntutan emosi yang perlu boleh dipraktikkan untuk lakonan drama dan filem. “Saya juga perlu membina keyakinan diri untuk berdepan dengan penonton secara langsung. Tambahan pula watak ini juga memerlukannya melontar suara untuk menyanyi. Sebelum ini pun saya menyanyi untuk album runut bunyi filem Tipu Kanan Tipu Kari, setidak-tidaknya ia menjadi asas dan pengalaman berguna untuk saya. “Setiap gerak geri kita diperhatikan dan kalau tersilap melontarkan dialog, tiada istilah ‘cut’ yang akan keluar seperti berlakon dalam drama dan filem. Di sinilah akan menguji pelakon teater untuk menutup kelemahan yang ada. Ia memberi cabaran baru kepada saya untuk terus mengasah kemampuan berlakon,” katanya yang berkahwin buat kali kedua dengan suaminya pada 29 Julai 2007. Menyingkap mengenai pengalamannya bergelar ibu, kata Tasha yang pernah mengacarakan Fesyen TV, ia memang satu pengalaman yang agak memenatkan, namun agak berbaloi untuk dikenang. Selama melahirkan anak, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga hingga terpaksa mengecewakan beberapa pihak produksi yang ingin menggunakan khidmatnya sebagai pelakon. Katanya, selepas bergelar ibu dan isteri orang, dia sentiasa peka dengan tanggungjawab yang harus ditunaikan. Lebih selesa mengambil tawaran berlakon tidak terlalu kerap pada tempoh masa yang rapat, Natasha bagaimanapun tidak terlalu suka merancang dan andai ada tawaran berlakon pada masa mendatang, dia akan cuba mempertimbangkan sewajar mungkin mengikut kesesuaian masa. Sesi latihan raptai teater ini akan bermula 10 Februari dan selama sebulan juga Natasha akan memberi tumpuan kepada pementasan teater yang akan dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 22 Mac depan. Berminat untuk membeli tiket dengan harga RM20, RM30 dan RM50 boleh menghubungi talian: 03- 61866592 Teater muzikal Ibu Zain pernah dipersembahkan pada Ogos tahun lalu di Istana Budaya. Selain Natasha, Datuk Jalaluddin Hassan, Hamzah Tahir dan Zuhairi Ibrahim antara muka baru yang diperkenalkan pada pementasan kali kedua ini. Beberapa pelakon asal seperti Catriona Ross, Hisham Ahmad Tajuddin dan Shahronizam tidak dapat bersama kerana terlebih dulu terikat dengan komitmen kerja lain.
Profil Nama Penuh: Natasha Liana Hudson
Usia: 26 tahun Tarikh Lahir: 9 September 1982
Tempat Lahir: Ipoh, Perak
Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku
Iklan: Nesquick, McDonald's, Pantene, Ambi Pur dan L'Oreal
Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri
Suami: Datuk Shahrin Zahari Anak: Nessa Helena



NURFATIMAH masih dikekalkan sebagai Ibu Zain peringkat dewasa, di samping pelakon cilik.


Pementasan teater diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia pada 13 hingga 22 Mac
BIAR berdepan dengan masalah mendapatkan penajaan untuk mementaskan teater hinggakan isu itu sering dibangkitkan, ia tidak menjadi batu penghalang kepada aktivis teater untuk terus menyemarakkan dunia seni dengan mempersembahkan khazanah berharga ini. Apalah sangat yang boleh diharapkan dengan kutipan jualan tiket yang hanya mampu menampung 20 hingga 30 peratus saja daripada kos keseluruhan dan bukan semua produksi yang mementaskan teater mengharapkan untung semata-mata. Pendek kata, cukuplah sekadar memberi pulangan modal, janji warisan seni ini tidak terus mati ditelan dek zaman.
Atas paksi itu juga, Teater Muzikal Ibu Zain kembali lagi dipentaskan pada 13 hingga 22 Mac depan melalui penganjuran Persatuan Penulis Wanita (PPWM) dan Aman Malaysia. Bersesuaian dengan kemelut kemanusiaan yang melanda rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan senario politik di negara kita, Aman Malaysia terpanggil untuk sama-sama terbabit kerana naskhah Ibu Zain memperhalusi dunia politik, pendidikan dan pelbagai aspek lagi yang perlu dititik berat dalam usaha memastikan keamanan negara terus dijaga. Selain itu, sambutan yang diterima terhadap pementasan teater ini tahun lalu mendorong ia dipentaskan buat ke sekian kalinya. Difahamkan kutipan tiket yang berjaya dibuat untuk tempoh 10 hari persembahan teater ini tahun lalu adalah sebanyak RM115,000 dengan kos keseluruhan RM1 juta





MAMPUKAH Natasha Hudson memberikan impak kepada lakonannya sebagai Miss Ruth

Malah, pengarah dan penulis skripnya, Rosminah Mohd Tahir memberitahu ada cadangan untuk membawa pementasan teater ini secara bergerak atau kembara ke seluruh Malaysia. Bagaimanapun, projek yang mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Seni Johor ini masih dalam peringkat perbincangan. Sepatutnya ia sudah dimulakan sejak Disember tahun lalu namun atas beberapa sebab, ia belum dapat dilaksanakan lagi. “Alang-alang yang dirancang masih tertangguh, kami sepakat mementaskannya buat kali kedua di lokasi berbeza dan bukan lagi di Istana Budaya (IB). Lagipun jadual di IB penuh dan masa yang dirancang tidak kena, lalu kami memilih Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) sebagai ganti. Pemilihan bulan Mac juga bersesuaian dengan kehangatan Persidangan Umno yang bakal berlangsung,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang media teater ini pada 4 Februari lalu. Memilih MTC, ia menjadi cabaran besar kepada produksi ini membawa dari satu pentas yang besar ke pentas yang lebih kecil ruang lingkupnya. Masih dipentaskan selama 10 hari, seperti tahun lalu, kos dikurangkan ke RM350,000. Ia adalah kos paling minimum yang digunakan bagi pementasan ini yang memerlukan hampir 100 tenaga kerja. Masih mengekalkan 100 peratus corak penceritaan yang sama seperti tahun lalu kerana teater ini berlandaskan kisah benar yang tidak boleh ada perubahan dari segi fakta. Perubahan lokasi ini yang boleh memuatkan sekitar 400 orang juga membuatkan penonton akan lebih dekat dan mesra kerana jarak pentas agak dekat dengan mereka.



MUKHRIZ sewaktu merasmikan teater Ibu Zain di Iistana Budaya sambil diperhatikan tenaga penting di sebalik pementasan teater.“Jika di IB kita ada tiga hingga empat pentas yang boleh bertukar-bertukar, tapi tidak di MTC yang hanya ada satu pentas. Kami akan meminimumkan pentas ikut kesesuaian. Dengan kos yang ada juga kita memerlukan set baru, bayaran tenaga kerja dan kemudahan lain. Kita masih mengekalkan kostum yang ada dan pelakon pun hanya tiga, empat orang saja yang bertukar. Sesuai dengan saiz pentas yang lebih kecil, kita juga mengurangkan pelakon contohnya 40 orang penari dikurangkan menjadi 20. “Di MTC juga kebanyakan aspek dan kerja dilakukan secara manual. Mikrofon juga tidak digunakan dan pelakon perlu kelantangan vokal sendiri untuk memastikan ia didengar penonton. Begitu halnya dengan mekanisme dan aspek teknikal tertentu yang dilakukan tanpa teknologi yang canggih seperti di IB. Set pun bertukar secara manual dan saya mungkin akan menggunakan latar belakang berbeza yang boleh ditolak-tolak,” katanya yang tidak melihat perihal manual ini sebagai penghalang daripada terus mempersembahkan teater ini. Mengenai Datin Natasha Hudson, Rosminah sendiri melihat potensi dan bakatnya untuk terus diasah. Malah, kata Rosminah sendiri, model itu juga cepat mesra dengan pelakon lain, tidak mewujudkan jurang antara mereka dan cepat menyesuaikan diri dengan skrip. Selain Natasha menggantikan Catriona Ross untuk memegang watak Miss Ruth, Datuk Jalaluddin Hassan juga terpilih menggantikan Hisham Ahmad Tajuddin untuk watak Pandak/Ungku Umar. “Adik saya Hamzah Tahir menggantikan Mazlan Tahir memegang watak Syed Sheikh Al Hadi dan Zuhairi Ibrahim dipertanggungjawabkan watak Yunus yang asalnya dilakonkan oleh isteri kepada Safura, Shahronizam. Selain itu, pelakon yang memegang watak Ibu Zain di usia muda juga bertukar. “Sebelum rezeki berpihak kepada Natasha, memang pihak kami ada menawarkan watak itu kepada Juliana Banos. Namun disebabkan tiada jawapan pasti daripadanya, maka akhirnya Natasha yang dipilih,” katanya. Majlis pelancaran teater ini disempurnakan Datuk Mukhriz Tun Mahathir selaku Penyelaras Aman Malaysia dan bertindak sebagai Penaung Teater Muzikal Ibu Zain. Satu sesi sketsa pendek yang dipetik daripada teater ini turut dipersembahkan kepada tetamu dan rakan media yang hadir. INFO: Teater Muzikal Ibu Zain 2Sesi latihan raptai teater ini akan bermula 10 Februari dan selama sebulan dan akan dipentaskan di di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 22 Mac depan bermula jam 8.30 malam.Datin Natasha Hudson, Datuk Jalaluddin Hassan, Hamzah Tahir dan Zuhairi Ibrahim antara muka baru yang diperkenalkan pada pementasan kali kedua ini. Begitu juga dengan watak Ibu Zain semasa remaja yang digantikan dengan pelakon lain. Beberapa pelakon asal seperti Catriona Ross, Hisham Ahmad Tajuddin dan Shahronizam tidak dapat bersama kerana terlebih dulu terikat dengan komitmen kerja lain.Pelakon Liza Othman bagaimanapun masih mampu terbabit dengan teater ini biarpun pada mulanya ada komitmen lain.Mendapat paduan kerjasama CTRA Production, Istana Budaya, MTC, ASWARA dan De’ Media & Event Entertainment.Berminat menonton teater ini dengan harga tiket RM 20, RM 30, RM 50 boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian: 03-61866592.

No comments: