Ibu Zain the Musical : Emas Tempawan

Ibu Zain MaTiC PC @ The Star Online TV

Ibu Zain Matic @ Chopie's www.lemon9.com

Sunday, February 1, 2009

Ibu Zain, MaTiC in Utusan Malaysia





08/02/09: Natasha Hudson kembali ke pentas seni


Oleh WANDA IDRIS



LAPAN bulan menyepikan diri daripada sebarang aktiviti seni, mungkin ramai menganggap dia melarikan diri untuk meredakan kontroversi yang pernah melanda dirinya. Tidak menafikan perkara tersebut menjadi salah satu penyebab dia sepi seketika namun tindakan itu bukanlah semata-mata untuk meredakan situasi hangat yang melanda diri semata-mata.
Lebih penting, dia sebenarnya mahu menumpukan perhatian kepada alam rumah tangga yang baru dibina di samping ingin meluangkan masa untuk cahaya mata yang baru ditimang.
Namun hari ini, dia kembali dan sudah bersedia berhadapan dengan situasi yang pernah menghangatkan namanya dan pihak media tempatan. Mengakui kesilapan diri namun itu bukan penyebab untuknya serik berada dalam dunia seni yang begitu diminati.
Walaupun hakikatnya dia tidak perlu lagi berkerja kerana segalanya cukup buat dirinya yang kini bergelar Datin Natasha Hudson. Malah kehidupannya kini sempurna dengan kehadiran Nessa Helena selain suaminya, ahli perniagaan, Datuk Shahrin Zahari. Biar memenatkan namun pengalaman bergelar ibu sangat mengasyikkan bagi Natasha atau mesra disapa Tasha ini. Malah dia juga teruja menjalani alam perkahwinan keduanya ini.
Namun minat yang mendalam dalam bidang lakonan tidak mahu dipersiakan. Juga Natasha Liana Hudson mengakui, dia juga sudah bersedia berhadapan dengan media yang sebelum ini pernah ‘dingin’ dengan dirinya akibat insiden perkahwinannya tidak berapa lama dulu.
“Ya, peristiwa itu sesuatu yang menyedihkan tapi saya percaya perlu mendinginkan yang panas itu dengan berdiam diri. Malah insiden itu sebenarnya mematangkan saya untuk menghadapi situasi,” jelasnya tanpa ragu-ragu untuk mengulas mengenai kontroversi itu.
Pernah terfikir untuk bersara daripada dunia hiburan namun kata Natasha, hatinya berbelah bahagia.
“Saya senang mendampingi anak saya, melihatnya membesar di depan mata juga menjalani kehidupan sebagai isteri tetapi saya juga merindui perkara yang berkaitan bidang seni, suasana ketika bekerja,” jelasnya.
Pun begitu, tegas Natasha, dia tetap berhati-hati memilih tawaran kerana tidak mahu berlama-lama di lokasi meninggalkan anak dan suami.
Kerana itu, biarpun banyak menerima tawaran berlakon khususnya drama, dia lebih senang mencari tawaran yang tidak menjejaskan masa berkualitinya bersama keluarga.
“Justeru, saya merasakan pembabitan saya bergantung kepada tawaran dan kelapangan saya,” jelasnya.
Mengakui menerima banyak tawaran berlakon drama sepanjang menyepikan diri namun selain belum bersedia, dia juga terpaksa ditolak memandangkan anaknya menyusu badan. Lagipun, tegas Natasha, dia lebih senang berlakon filem memandangkan ia tidak mengambil masa yang terlalu lama berbanding drama.
Berlakon dan menyanyi
Bakal membuat kemunculan semula, langkah pertamanya adalah di pentas teater, Muzikal Ibu Zain yang bakal dipersembahkan pada Mac depan. Sudah lama mengidam beraksi pada persembahan teater, menariknya kemunculan julung kali itu juga menyaksikan Natasha yang bakal membawa watak Miss Ruth melontarkan suaranya menyanyikan dua lagu.
Pada musim pertama pementasannya, watak itu dilakonkan Catriona Ross dan Natasha mengakui berterima kasih kepada Catriona kerana mengesyorkan namanya selain Melissa Saila untuk watak berkenaan.
“Saya baru sahaja menerima tawaran berlakon ini minggu lepas dan tawaran ini sebenarnya sangat kena pada masanya.
“Bukan sahaja kerana saya memang sudah bersedia untuk kembali berlakon, lagipun saya memang menunggu tawaran begini kerana mahu mendalami ilmu lakonan,” ujarnya.
Berharap dapat belajar selok belok beraksi di pentas daripada aktres seperti Liza Othman yang membawakan watak Ibu Zain, Natasha juga memberitahu Catriona sendiri banyak membantunya mengenali lebih dekat watak tersebut selain menyaksikan sedutan pementasan sebelum ini.
“Cuma mungkin kerana saya orang Melayu yang banyak menggunakan bahasa Melayu, saya agak kekok untuk melontarkan kata-kata slanga yang pekat loghat Melayu-Inggerisnya,” tambahnya.
Penampilan sulungnya itu juga kata Natasha sebenarnya memberikan satu perasaan gementar terutama memikirkan aksi secara langsung di pentas. Pun begitu, dia optimis dan percaya melalui latihan yang pesat dan bersungguh-sungguh, dia akan mampu mengatasi perasaan itu.
“Saya juga mahu mencabar diri. Lagipun saya suka naskhah ini kerana sejak dahulu saya gemarkan kisah-kisah sejarah.
“Walaupun tidak begitu kenal dengan Ibu Zain tetapi dengan pembabitan ini dan cerita daripada suami, saya berasa amat berbangga dapat bekerjasama dengan produksi ini,” katanya yang mengakui suami banyak memberi sokongan dan dorongan untuk terlibat pada pementasan arahan Rosminah Tahir itu.




01/02/09: Muzikal Ibu Zain dipentaskan lagi
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_40.htm

Oleh WANDA IDRIS

PEMENTASAN Ibu Zain, biar satu persembahan muzikal sebenarnya satu dokumentasi yang mengisahkan kehidupan pengasas dan pejuang hak-hak kaum wanita dalam pendidikan dan politik tanah air.
Menyaksikan pementasan di Panggung Sari, Istana Budaya sempena bulan kemerdekaan, Ogos tahun lalu, kita dapat mengungkai sejarah perjuangan seorang guru dan nasionalis bermula saat kelahiran, zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan sehingga berjaya menuntut kemerdekaan.
Biarpun ini satu dokumentasi, pementasannya tidak menjemukan kerana selain memuatkan 20 lagu ciptaan Nik Nizam Jaffar, ada unsur-unsur jenaka yang menghiburkan ketika mengisahkan perjalanan kehidupan dan perjuangan Ibu Zain dalam di bidang pendidikan, persuratan dan politik.
Perjuangan bermula sejak kecil ketika berusia 13 tahun beliau telah menubuhkan sekolah sendiri bagi memberi kesedaran tentang pentingnya pendidikan kepada orang Melayu. Baginya, hanya ilmu yang akan dapat menjatuhkan penjajah Inggeris dan Jepun.
Kini kisah perjuangan Tan Sri Zainon Munshi Sulaiman itu dipentaskan sekali lagi bermula 13 Mac hingga 22 Mac depan. Kali ini lokasinya di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Dianjurkan bersama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dengan Aman Malaysia dan dinaungi Datuk Mukhriz Mahathir, pementasan ini juga sebagai memenuhi permintaan khalayak yang tidak berkesempatan menyaksikannya di Istana Budaya. Dengan harapan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan bangsa, pementasan selama dua jam itu juga kali bersempena Perhimpunan Agung UMNO.
Mengekalkan teraju utama seperti Liza Othman, Nur Fatimah Abd. Wahab, Tengku Iezahdiyana Nurhanie Tengku Alauddin dan Nurul Syariza Nor Azim sebagai Ibu Zain, turut membintangi pementasan ini adalah Datuk Rahim Razali, Ava Vanja, Mazin Ameen Siraj, Zaefrul Nordin, Tania Zalina, Sherry Syed Abdullah serta 50 pelakon lain.
Bagaimanapun berkemungkinan besar watak Miss Ruth, pengetua Sekolah Perempuan Methodist, Melaka, tempat Ibu Zain bersekolah yang dibawakan Catrionna Ross bakal diganti pelakon lain.
Ini kerana Catriona terikat dengan komitmen lain dan antara nama yang disebut-sebut menggantikan tempatnya adalah penyanyi Juliana Banos.
Diarahkan oleh Rosminah Tahir, pementasan ini juga mendapat kerjasama yang mendapat kerjasama CTRA Production, Istana Budaya, MTC, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, PPWM berhasrat untuk sama-sama mendidik dan memberi ruang kepada masyarakat tempatan untuk lebih mengenali ketokohan guru dan nasionalis tersebut.



SIAPA IBU ZAIN?
*Tan Sri Zainon binti Munshi Sulaiman dilahirkan pada 22 Januari 1903
*Berkahwin dengan Amin bin Wahab ketika berusia 31 tahun (1934).
*Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata antaranya Khalidah Adibah atau dikenali sebagai Adibah Amin.
*Meninggal dunia pada 2 April 1989 di Muar, Johor akibat penyakit barah perut dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bharu.
* Dilahirkan di Nyalas, Melaka dan merupakan anak ke-enam daripada lapan beradik.
* Ketika mengikut ayahnya menetap di Melaka, beliau belajar di Methodist Girls School, Tengkera (1909-1912) diikuti Tengkera School (1913-1915) sehingga lulus Junior Cambridge.
* Ketika usianya 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.
* Pada tahun 1921, berhijrah ke Muar untuk berkhidmat di Sekolah Perempuan Bandar Maharani.
* Tiga tahun kemudian dilantik menjadi Guru Besar sekolah yang sama.
* Kemudiannya, dilantik menjadi Guru Pelawat/Penyelia bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh negeri Johor.



KETOKOHAN IBU ZAIN
* Antara mereka yang bertanggung jawab menubuhkan Persatuan Guru- Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor dan merupakan presiden pertama persatuan itu
* Menubuhkan dan menyandang jawatan Yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu selama 19 tahun sejak tahun 1930.
* Antara tahun 1929-1941, menghasilkan majalah untuk wanita bergelar Bulan Melayu.
* Merupakan salah seorang perintis UMNO dan Ketua Kaum Ibu UMNO (sekarang Ketua Wanita UMNO)
* Dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili parti UMNO pada 1948.
* 1959 dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan.
* 1963 dilantik sebagai Pengetua Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam.
* Terlibat dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956 sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1958.
* Antara pingat diterima adalah Pingat Sultan Ibrahim (1947), Anugerah Johan Mangku Negara (1958), Pingat Lady of Mynmar dari Kerajaan Mynmar dan Pingat Tun Fatimah (1974), Tokoh Guru Kebangsaan Pertama dan Ijazah Kehormat Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya (1975), Anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri (1979) dan Anugerah Suluh Budiman (1980).

No comments: